Wednesday, July 08, 2009

salam israk mikraj

Assalamualaikum w.b.t., Salam Israk buat semua pembaca  yang diberkati dan dirahmati Allah sekalian. Semoga peristiwa ajaib di bulan Rejab ini dapat menginsafkan kita kepada persaudaraan dan kesatuan untuk membebaskan bumi Israk dari cengkaman musuh-musuh Allah, Yahudi dan Zionis.

Risalah penyatuan Israk Mikraj ini saya mulakan dengan mengajak para pembaca meyakini bahawa Israk dan Mikraj itu terjadi membabitkan roh dan jasad Ar-Rasul. Ini merupakan perbahasan panjang di kalangan sesetengah ulama’ sehingga tercetus khilaf besar di kalangan umat yang kurang faham. Omar Al-Telmesani ada menyebut di dalam risalahnya berkenaan Israk Mikraj bahawa “Aku tidak memerlukan dalil untuk meyakini Israk dan Mikraj itu melibatkan roh dan jasad ar-Rasul tetapi untuk meyakinkan orang lain maka telah aku kumpulkan beberapa dalil aqli dan naqli.”

Di sini saya tidak ingin menghurai panjang persoalan ini, yang jelas Allah mampu melakukan apa sahaja. Sebagai mukjizat untuk Rasul yang terbaik dan paling mulia. Sedangkan Allah berdialog dengan Nabi Musa secara sedar dan juga Nabi Ibrahim a.s. Inikan pula Nabi Muhammad yang paling utama. Di malam Israk yang mulia, Rasul telah mengimamkan seluruh Nabi sebagai simbolik kesinambungan dakwah tauhid sejak zaman berzaman.

Dalam keadaan begitu, Rasulullah dimuliakan dan diangkat namun tiada setitis pun rasa ujub dan takabbur melintas di hati baginda. Bahkan tawaddhuklah sikap baginda seumur hayat dakwahnya.

Tawaddhuk dan sikap lemah lembut inilah yang menyatukan generasi awal para sahabat. Sempena Israk yang menginsafkan ini, suka saya ingatkan diri saya dan semua pembaca kepada kehilangan tawaddhuk di hati pendakwah bukan sekadar membantutkan kerja dakwah, bahkan menyebabkan timbul fitnah ke atas gerak kerja dakwah. Islam sejak dari awal dengan sifat asasinya tidak pernah memandang rendah permasalahan ujub dan takabbur.

Jadi mengapa perlu kita yang menggelar diri kita sebagai pelajar agama merasakan diri kita terlebih mulia dan layak menghina hamba Allah yang lain. Yakinkah kita amal kita yang disertai rasa ujub dan takabbur itu diterima Allah? Atau layakkah kita menapak angkuh di bumi Allah dengan kehambaan yang berlapikkan rasa takjub pada diri yang hina?

Marilah kita serap aura tawaddhuk dari peristiwa Israk dan hiaskan diri kita dengan pekerti Rasul. Marilah kita semaikan ikhlas dan kita terapkan istiqamah, dengan harapan Allah akan menerima amal kita dan meredhai kita. Insaflah kita setelah beberapa tahun kita menyambut peristiwa Israk sedang bumi Israk masih dijajah dan menjadi tanah sembelihan saudara-saudara kita. Dosa mengabaikan perjuangan membebaskan bumi Palestin akan terus terpalit pada buku catatan kita. Bergeraklah di medan kita untuk menguatkan kesatuan ummah dan kekuatan Islam agar kembali menjadi payung untuk seluruh alam.

Intifadhah al Aqsa

Setelah gelombang pertama Intifadhah Pencetus dihentikan pada 1997 atas perjanjian damai dan beberapa faktor strategi. Pada tahun 2000 ia kembali dengan gelombang baru yang lebih besar untuk menggugat kewujudan Israel dan penguasaan Rejim Zionis di bumi Israk itu.

Intifadhah ini diberi nama Intifadhah al-Aqsa. Telah dilancarkan oleh Yasser Arafat. Jumlah operasi dalam tempoh 2 tahun ini menjangkau ke 41 operasi yang disertai oleh pelbagai gerakan pembebasan yang ada di Palestin. Tambah menarik lagi operasi-operasi ini merangkumi segenap pelusuk bumi Palestin baik yang dikuasai gerakan pembebasan Palestin mahupun Zionis atau kawasan yang digelar tanah jajahan. Majoriti operasi berkitar di Tebing Barat dan Israel.

Seperti biasa HAMAS mendahului jumlah operasi berbanding gerakan-gerakan lain. Walaupun jumlah operasi berkurangan berbanding intifadhah pertama namun operasi kali ini mengakibatkan kerugian yang sangat besar bagi Israel. Tekanan akibat intifadhah ini telah membawa kepada pembinaan tembok satu hala oleh Israel.


Perjanjian damai pada 1994 telah membantu yahudi meningkatkan keupayaannya seperti berikut:
  1. Peningkatan pendapatan dalaman dari 55 bilion ke 85 bilion dolar.
  2. Peningkatan pendapatan perkapita dari 12600 dolar pada tahun 1992 kepada 15600 dolar pada tahun 1995 dan 18000 pada tahun 2000.
  3. Penurunan kadar pengangguran dari 11.2 tahun 1992 kepada 6.9 tahun 1996 dengan kedatangan buruh dari Romania dan Thailand sebanyak 300 ribu orang.
  4. Pertumbuhan ekonomi meningkat dari 7.4% pada tahun 2000 dan pada tahun 1999 pertambahan export sebanyak 23%.
  5. Bahkan jumlah korban Israel selama 22 tahun selepas perjanjian oslo sebanyak 600 orang iaitu bersamaan 28 orang per tahun.


Bagaimanapun keadaan ini berubah setelah intifadhah al Aqsa dilancarkan; kepada berikut:
  1. Peningkatan belanja ketenteraan sebanyak 800 juta dolar kepada 1 bilion dolar pada tahun 2002. Jumlah kerugian Israel akibat intifadhah al Aqsa mencecah 10 bilion dolar.
  2. Penurunan pendapatan per kapita kepada 15000 dolar pada tahun 2002.
  3. Kadar pengangguran meningkat dari 8 % kepada 11% pada tahun 2001.
  4. Ekonomi Israel mencatat penurunan 0.9% pada 2001 kadar eksport turun ke 11.7% tahun 2001 dan 4.2% tahun 2002.
  5. Dalam tempoh 2 tahun sahaja seramai 644 orang Yahudi tekorban akibat operasi Intifadhah.
  6. Ini mendesak Israel melakukan beberapa perkara antaranya menjatuhkan hukuman buang negara ke atas Yasser Arafat, membuat gencatan senjata setahun dan mengadakan persidangan antarabangsa yang berterusan bermula dari 2004 dan akhirnya pada tahun 2005 ditubuhkan kerajaan sementara Palestin.


Ini semua adalah stratergi terancang HAMAS dan pejuang-pejuang lain di bumi Palestin dengan bantuan dari seluruh kaum muslimin yang memboikot ekonomi Israel. Suka saya sertakan beberapa analisa operasi sekitar Intifdhah al Aqsa ini.

Jumlah korban yang diakibatkan oleh gerakan-gerakan Palestin bagi pihak Yahudi pada tahun 2000-2002.

Gerakan
Bil. Mati
Peratus
Bil. Cedera
Peratus
Izzuddin Qassam, HAMAS
304
47.8
1877
45.4
Syuhada al Aqsa, FATAH
110
17.1
752
20.6
Saraayaa al Quds, Jihad Islamiy
47
7.4
487
11.8
Abu Ali Mustafa, Jibhah Sya’biyah
13
2
162
3.9
Muqawamah wataniyah, Jibhah Demokratiyah
3
0.5
20
0.5
Muqawamah Sya’biyah, Alawiyah Salah ad Din
9
1.4
11
0.3
Operasi sepadu
39
6.1
182
4.4
Operasi luar maklumat
91
14.1
497
12
Operasi individu
24
3.7
49
1.2
Jumlah
644
100
4137
100
























Kawasan Operasi dan Hasil dari 28-9-2000 hingga 28-9-2002:

Kawasan
Mati
Cedera
Tebing Ghaza
64
293
Tebing Barat
227
650
Al Quds
119
1168
Palestin yang dijajah(Israel)
234
2026
Jumlah
644
4137










Sememangnya bukanlah kita mendambakan kebinasaan sesama insan tetapi adat peperangan menilai dan mengukur kejayaan dengan kemusnahan di pihak musuh. Bahkan operasi-operasi di atas ini sebenarnya meragut nyawa tentera dan agen-agen penjajahan bukanlah rakyat awam seperti yang diwar-warkan. Kita harus sekali lagi ingat pejuang-pejuang ini sedang mempertahankan tanah umat Islam dan maruah kita semua. Sokongan yang jitu dalam apa jua bidang mesti disalurkan dengan hasrat bumi Palestin akan bernafas dengan merdeka kembali. Semoga Allah menerima amal kita, amal mereka dan menempatkan kita semua di dalam syurgaNya. Nantikan info seterusnya!!!

Rujukan: Samarat al Intifadhah; dr. Samiy Solehiy
HAMAS al muntalaqat wal Ahdaf: ‘ala’ an Nadiy.
Hasaad al Intifadhah : HAMAS

Thursday, June 11, 2009

Intifadah Pencetus.

Perjuangan Palestin yang mulanya melibatkan kebanyakan negara Arab telah bertukar menjadi perjuangan bangsa Palestin semata-mata. Perjuangan untuk membebaskan Palestin dari Israel. Walaupun Palestin dicengkam sejak 1948 lagi namun intifadah hanya bermula pada tahun 1987 iaitu selepas empat tahun penubuhan HAMAS. Abdullah Azzam pernah menyuarakan hasratnya untuk melihat pejuang-pejuang Palestin menggalas senjata memerangi Zionis dan mengusirnya dengan kudrat mereka.

Sebenarnya intifadah kini telah sampai kegelombang ketiga. Sejak bermulanya Intifadah pertama dalam tahun-tahun 1987 hingga 1994. Dalam gelombang pertama ini kita boleh bahagikannya kepada tiga peringkat. Peringkat pertama digelar intifadah Batu. Dalam peringkat ini HAMAS di bawah pimpinan Syeikh Yassin mengumpul kekuatan persenjataan bagi menubuhkan sayap ketenteraan. Ia berlaku selama hampir 3-4 tahun.

Setelah itu penentangan berkembang secara sedikit demi sedikit. Dalam peringkat pertama HAMAS berjaya melancarkan 16 serangan dan menyebabkan kematian di pihak Zionis seramai 77 orang. Peringkat kedua menyusul dengan serangan lebih hebat iaitu sebanyak 46 serangan dan mengakibatkan kematian 187 orang Israel.

Dalam gelombang pertama ini beberapa perkara penting berlaku, iaitu peperangan Sakakin atau Pisau Pisau yang telah meragut nyawa dua orang tentera Israel dan enam orang rakyat Palestin. Selain itu Kataib Izzuddin al Qassam juga ditubuhkan dalam era ini. Sayap ketenteraan HAMAS ini diambil namanya sempena mujahid Palestin yang tersohor Syeikh Izzuddin al Qassam.

Dapat kita ringkaskan Intifadah pertama ini adalah perintis kepada perjuangan membebaskan Palestin dari dalam. Selain HAMAS sebenarnya berpuluh lagi sayap perjuangan Palestin yang melancarkan peperangan terhadap Zionis dalam era intifadah ini. Walaupun begitu penyumbang terbesar terhadap kemajuan penentangan ke atas Israel ini dimonopoli oleh HAMAS dan diikuti pula Jihad Islamiy. Perlu bagi kita untuk mengetahui betapa mujahid di Palestin ingin memerdekakan tanah mereka. Biarpun nyawa mereka perlu dijadikan senjata mereka akan menggunakannya.

Tetapi kita juga perlu mengetahui bahawa semua yang mereka lakukan adalah mengikut penyusunan yang sangat teliti dan meraih sasaran yang paling maksima.

Tuesday, June 09, 2009

Pulang ke Syurga

Pulang ke Syurga.

Kembara itu membawa ragaku.
jiwa menurut kerut
Kalbu bentak retak.

Dalam hujan kutinggalkan hutan.
Ular besi, Burung keluli.
Tibalah aku.
Pantai tiada laut.
Gambut tanpa rumput.
Berdiri atas api.
Panas umpama neraka.

Garuda besi,
jemputlah aku.
Tinggal kenang dan menang.
Bawalah diri.
Melintas India , China dan Jawa.
Aku mahu hutan dan hujan.
Mahu laut dan taut.
Rindu pulau jua bakau.

Duhai Harap, Duhai Mustajab.
dengar dan kabulkan pinta ini.
Izinkan daku,
pulang ke syurga.

Siddiq Osman
merindui Malaysia.

Saturday, May 30, 2009

Mencari Erti Taubat

Malam ini malam jumaat.
Masa ku punggah abjad dari al-Kitab.
Geledah aksara mencari makna.
Buat membunuh alpa jua dosa.

Dalam kulihat rosak dunia.
Kunilai punah buana dan maya.
Diselak aib semua, Tuhan tujukan bicaraNya.
Sedang kamu ingatkan sekaliannya jangan dilupa jiwa sendiri.

Pempam jiwa renyuk rasa.
Takut pedih jua malu memukul raga jiwa.
Keruanku hilang diserap kesal.
Lutut jadi luluh,
pinggang lantas lekang,
kujur tubuh luruh,
dibalut rengkut sujud.

Lantai kehambaan membasah.
Dibanjiri titis insaf.
Hati yang kontang dek api ujub
kini mekar disiram air tawadhuk.
Kini kuerti kenapa al Faruq sukar lelap.
Kufaham apa yang mengekang kornea siddiq.
Jua ku percaya Muhammad bengkak kaki berdiri.
Kerana mereka amat mengamati abjad pada al-Kitab.
Kerana mereka kenal erti taubat.
Sedang aku semut yang cuba mendongak megah
dalam gelap yang kusangka medan dakwah.

Ampun Tuhan, ampuniku.
Aku pacal yang tidak pernah kenal diri.
Tolonglah ampunkan daku.

tanda-tanda Husnul Khatimah

Sesungguhnya mati adalah pasti datang. Selepas mati kita akan dikuburkan ada yang diberi nikmat ada pula yang diazab. Sebagai Muslim kita wajib percaya dan mengimani azab dan ganjaran di alam barzakh. Dalam masa yang sama kita mempercayai mengenai hari kebangkitan selepas alam barzakh.

Sesetengah kita tidak merasakan kegusaran ini. Sesetengah yang lagi takut membincangkannya sehingga menyebut mati pun tidak berani. Sesungguhnya husnul khatimah itu lebih baik dari kehidupan yang sementara ini. Apapun mari kita renungkan maksud Firman Allah ini: "sesungguhnya Akhiran itu lebih baik bagi kamu dari permulaan." Surah ad Dhuha.

Di sini saya sertakan beberapa petanda seseorang itu mendapat husnul khatimah.

1 - Kalimah akhir dari mulutnya adalah kalimah toyyibah. La ilaha Illa Allah.
2 - Meninggal pada hari jumaat atau malam jumaat.
3 - Merenik peluh di dahinya atau ubunnya.
4 - meninggal dalam peperangan dengan orang kafir (syahid)
5 - meninggal akibat Taun atau Penyakit-penyakit dalam perut.
6 - Meninggal dalam melakukan amal soleh.
7 - Meninggal disebabkan lemas atau terbakar.

Semua ini hanya setelah mereka yang meninggal tadi merupakan orang Islam dan mengakui keesaan Allah dan kebenaran ISlam.

Pohonlah kematian yang baik untuk mendapat tempat kembali yang baik. Mati bukanlah suatu yang buruk tetapi kematian yang buruk itu mengekori mereka yang meninggalkan kebaikan dan membencinya.

Sunday, May 24, 2009

Kematian Yang Kulupakan

Semalam guruku pergi,
sebelum itu nenda tercinta.

Mereka pergi melengkap cerita.
Kisah yang mesti tamat di sana.
Tetapi pergian ini mengingatkan.
Ingat pada bekal di bekas amal.
Ingat kiraan umur makin merenek.

Kematian yang kulupakan,
datang dari segenap penjuru.
Bukan ugutan sekadar ingatan.

Namun kematian sering jua dialpa.
Kerna kehidupan penuh leka.
Bagai berangan di pohon beringin,
ingin membina istana permata.
Sedangkan dosa tidak diiring airmata.
Pahala hanya di bibir kata.

Bilakah akan dipasak ingatan?
Biarlah sebelum diri diingati.
Andai mati berlumba dengan nyawa.
Akulah medannya, nyawa itu kelajuan.
Mati itu kepantasan.

Umurlah penamat,
taubat menjadi pingat.
Alpa menjanji laknat.
Diri dunia itu singkat,
pilihlah jalan selamat.

Siddiq Osman.